Salam

1. Pelik melihat tajuk kali ini? Hakikatnya kedua-dua di atas adalah istilah-istilah yang ada makna yang menarik. Saya mula-mula belajar tentang “kepala mayat” daripada al-marhumah Bonda saya yang tercinta semasa saya masih di sekolah rendah lagi iaitu semasa salah seorang daripada nenek saudara saya, Tok Puteh meninggal dunia. Bonda menyebut tentang “kepala mayat” dalam perbualan dengan nenek saya, Mak Tua ketika itu dan saya cuma tumpang mendengar sahaja. Istilah “kapit mayat” pula baru saya pelajari daripada Mak Tua semasa saya pulang ke kampung pada Januari lalu. Tahu apa maksudnya?

2. “Kepala mayat” merujuk kepada bahagian harta yang menjadi hak suami setelah isterinya meninggal dunia sepertimana telah ditentukan oleh Allah dalam ayat mawarith. Kenapa disebut “kepala mayat”? Saya sendiri masih tertanya-tanya sehingga hari ini dan sudah kepada beberapa orang tua saya bertanya tentang rasionalnya, tapi belum beroleh jawapannya. Jika anda tahu, bolehlah berkongsi dengan saya. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 12 tentang perkara di atas:

4_012

“Dan bagimu seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tiada anak. Tetapi jika mereka ada anak maka kamu beroleh seperempat dari harta yang ditinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dengannya atau sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tiada anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dengannya dan sesudah dibayar hutangmu. Dan jika simati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau ibu bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki, atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah seperenam. Kalau pula mereka lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada sepertiga, sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan olehnya, dan sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memudharatkan. Itulah ketetapan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”

3. Istilah “kapit mayat” pula lain maknanya. Memang menjadi kebiasaan pulang ke kampung, Mak Tua dan adik kepada Bonda, Pak De akan update saya tentang perkembangan-perkembangan di kampung. Januari lalu Mak Tua beritahu, “Pak XXX tu dah jadi kapit mayat dah?” Terkejut juga mendengarnya sebab itu kali pertama saya mendengarnya. Akhirnya Pak De menerangkan, “Pak XXX anak kedua. Dulu abangnya meninggal dunia; dan baru-baru ini adik di bawahnya (ketiga) pula meninggal dunia. Maka jadilah Pak XXX “dikapit” oleh mayat.”

4. Saya pun tak pasti sama ada istilah ini hanya diketahui di kampung saya, Kampung Batu Hampar, Kuala Terengganu ataupun seluruh Terengganu, atau juga di tempat-tempat lain…

Advertisements