Salam

1. Perkataan Uswatun Hasanah juga disebut oleh Allah SWT pada diri Abu al-Anbiya’ (bapa segala nabi) Ibrahim AS dalam surah al-Mumtahinah Ayat 4 dan dipertegaskan lagi dalam Ayat 6:

60_004

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami ingkarkan penyembahan kamu dan nyatalah permusuhan dan kebencian di antara kami denganmu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah Yang Esa, kecuali ucapan Ibrahim kepada bapanya: Aku akan memohon keampunan bagimu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab) dari Allah sedikitpun daripada menimpamu. (Ibrahim berkata): Wahai Tuhan kami! Kepada-Mu kami berserah diri, dan kepada-Mu kami bertaubat, serta kepada-Mu jua tempat kembali!”

60_0051

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana tindasan orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

60_006

“Demi sesungguhnya! Adalah bagimu pada Ibrahim dan pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

2. Ayat-ayat di atas menunjukkan contoh ketegasan dan sifat istiqamah Ibrahim AS dalam meninggikan agama Allah SWT, sehingga mengisytiharkan “pemusuhan” yang berterusan kepada orang-orang musyrik melainkan setelah mereka beriman semata-mata hanya kepada Allah. Perkara inilah yang perlu dihayati para pejuang Islam yang sama sekali tidak boleh undur daripada perjuangan dan meneruskan arus perjuangan sehinggalah Allah SWT diabdikan oleh seluruh makhluk. Sekurang-kurangnya perkara berikut perlu diteliti pada “uswatun hasanah” ini:

a) Ibrahim AS meneruskan perjuangan sekalipun diuji getir dengan bakaran api yang marak menyala (lihat surah al-‘Ankabut) setelah menghancurkan berhala kaumnya (lihat surah al-Anbiya’ ayat 58).

b) Ibrahim AS meletakkan keyakinan dalam persoalan rezeki hanya kepada Allah SWT, walaupun dinafikan hak mendapat subsidi makanan daripada Namrud semata-mata tidak memperakui Namrud sebagai Tuhan (lihat dialog Ibrahim AS dan Namrud dalam surah al-Baqarah). Namun Allah telah merezekikan Ibrahim AS.

c) Ibrahim AS berhijrah dalam dakwahnya daripada Babilon, ke Hurran, ke Mesir dan selanjutnya ke Baitul Maqdis semata-mata menyebarkan agama Allah.

d) Ibrahim AS, Hajar dan Ismail AS yang masih kecil menzahirkan ketaatan kepada Allah untuk menempati lembah yang tiada pokok sebagaimana wahyuNya, tanpa memikirkan secara logik akal manusia tentang kepanasan, kelaparan, binatang buas, bekalan air dan lain-lain. Ibrahim AS dan Ismail AS juga menumpahkan seluruh ketaatan kepada Allah dalam peristiwa penyembelihan anaknya.

Wallahu ‘alam

Advertisements