ISU 3: KOS PENYELENGGARAAN BAGI AKAUN DEPOSIT MUDHARABA

Bolehkah kos penyelenggaraan dikenakan ke atas akaun deposit mudhārabah?

Jawapan

Institusi kewangan Islam tidak boleh mengenakan sebarang caj kos penyelenggaraan ke atas akaun deposit mudhārabah kerana ianya bercanggah dengan prinsip mudhārabah. Sekiranya pihak institusi kewangan Islam memerlukan amaun tambahan bagi menampung kos penyelenggaraan, ia sepatutnya diambilkira dalam penentuan nisbah perkongsian untung yang dimeterai antara kedua-dua belah pihak.

Ulasan:

  • Mengenakan sebarang caj kos penyelenggaraan ke atas akaun deposit berasaskan kontrak mudharabah adalah menyalahi prinsip mudharabah kerana di bawah akaun ini, Bank bertindak sebagai mudharib/ sahibul ‘amal (pengusaha modal) kepada dana/ modal yang diberikan oleh pendeposit (rabbul mal / pemilik modal). Sepatutnya sebarang pulangan kepada Bank hendaklah telah diambilkira dalam pengiraan pembahagian keuntungan antara Bank dan pelanggan semasa memulakan kontrak mudharabah.
  • Adalah menjadi satu prinsip muktabar bagi kontrak mudharabah iaitu mana-mana pihak tidak boleh mengenakan mengenakan pulangan tertentu kepadanya sama ada dalam bentuk diikat kepada modal seperti RM2000 atau 20% bagi setiap RM10000 modal yang diberikan, atau dalam bentuk tertentu lain (absolute amount) seperti caj penyelenggaraan RM10 ke atas pendeposit.
  • Penelitian saya kepada produk-produk beberapa institusi perbankan Islam menunjukkan bahawa mereka menyalahi hukum Syariah kerana mengenakan caj tersebut kepada pendeposit berasaskan kontrak mudharabah.
Advertisements