Salam
1. Saya tiba di Bandaranaike International Airport, Colombo pada 12.30 pagi (waktu tempatan) 5/2/2009 lalu, setelah bertolak dari KLIA pada jam 8.05 malam. Perjalanan penerbangan MH189 , Malaysia Airline menuju dahulu ke Male International Airport, Maldives mengambil masa 4 jam 30 minit sebelum berpatah balik ke Bandaranaike International Airport, Colombo yang mengambil masa sejam. Penerbangan yang sama akan pulang ke KLIA pada malam yang sama dan akan tiba di KLIA pada jam 7.45 pagi.
2. Semasa saya tiba, Colombo dihiasi dengan bendera negaranya kerana baru merayakan ulangtahun kemerdekaannya ke 61 pada 4/2/2009. Negara kepulauan ini pernah dijajahi oleh beberapa kuasa besar dunia dan paling akhir oleh British. Sungguhpun, begitu negara ini kurang maju kerana ketidak-stabilan politiknya terutamanya peperangan menghadapi LTTE (Tentera Harimau Tamil) di bahagian utara pulau ini.

Bangunan depan ialah Sekretariat Presiden, bangunan putih di belakang ialah Calagari Hotel tempat saya menginap, menara berkembar ialah World Trade Centre dan menara bulat ialah Bank of Ceylon
3. Kawalan keselamatan cukup ketat kerana saya tiba semasa darurat baru disambung semula oleh Parlimen. Tentera kerajaan sedang menganyang LTTE di kawasan utara dan daripada akhbar tempatan, saya mendapat maklum bahawa hanya tinggal kawasan seluas 25 km X 20 km sahaja masih dalam kawalan LTTE. Pada 5/2/2009, tentera kerajaan baru menguasai pangkalan laut terakhir LTTE. Televisyen dan akhbar berperanan sebagai alat propanda kerajaan dalam menghadapi LTTE. 60% daripada akhbar Inggeris tempatan (saya membaca 3 daripadanya setiap hari di kafeteria hotel) mengfokuskan tentang perkara ini dan driver teksi (semasa pulang) menceritakan bahawa rakyat negara ini menanti tamatnya perang untuk memulakan fasa baru dalam negara mereka.
4. Dalam perjalanan ke Galadari Hotel dimana saya menginap daripada Bandaranaike International Airport iaitu sejauh 35 km yang mengambil masa 1 jam 10 minit, ada 4 sekatan jalanraya dan pada setiap kalinya saya diminta menunjukkan pasport. Seorang lelaki Cina warga Malaysia yang duduk di sebelah saya dari Male International Airport ke BIA menjelaskan bahawa itu situasi biasa di Colombo dan itu sudah cukup untuk saya menyediakan fikiran saya sebelum mendarat di BIA. Galadari Hotel terletak di “security area” kerana di situ terletaknya kediaman Presiden dan pangkalan tentera. Oleh itu, mengambil gambar tidak dibenarkan daripada tingkat hotel. Setiap pagi dan malam saya melihat helikopter tentera turun dan naik. Dimaklumkan bahawa mereka membawa Presiden Sri Lanka terutamanya ke pusat pentadbirannya negara di Sri Jayawardenepura Kotte. Dapat saya perhatikan setiap kali helikoper turun, akan ada tiga kereta mewah yang sama dengan bendera Presiden bergerak. Mungkin untuk menggelirukan musuh LTTE yang menjadikan Presiden sebagai sasaran mereka.

Galle Face Green di hadapan hotel. Fungsinya seperti Dataran Merdeka di KL
5. Majoriti penduduk Sri Lanka dan Colombo berbangsa Sinhalese (keturunan Aryan) iaitu 40% dan bangsa-bangsa utama lain ialah Tamil dan Moors. Terdapat juga orang Melayu dan diantara mereka ialah Pengarah Sumber Manusia, Amana Investment Limited (http://www.amana.lk/) yang menjemput saya di hotel pada 5/2/2009 iaitu Fairozue Burah dan Tuan Razin, PA kepada Pengarah Urusan Amana. Muslim mewakili 3% penduduk, tetapi pengaruh Muslim dalam ekonomi dan politik cukup hebat. Galadari Hotel (5 bintang) tempat saya menginap dimiliki oleh Muslim dan makanannya adalah halal (kecuali arak yang turut wujud dalam premis tersebut). KFC dan Mc Donalds juga halal. Pizza Hut baru sahaja mendapat pengesahan halal daripada Jam’iyyat Ulama’ Sri Lanka pada bulan lalu. 7 orang daripada anggota kabinet adalah beragama Islam walaupun mereka datang daripada parti yang pelbagai.
6. Di seluruh Colombo terdapat sebanyak 6000 maulavi/ maulana (Ustaz di Malaysia) dan kebanyakan mereka mendapat pendidikan di Pakistan. Saya menjadi tamu makan malam kepada Maulavi Mufti M.I.M. Rizvi iaitu Presiden Jam’iyat Ulama’ Sri Lanka. Ulama yang boleh berbahasa Inggeris ini (saya bertanya kepada beliau dalam bahasa Arab, tetapi dijawabnya dalam bahasa Inggeris, akhirnya kami berkomunikasi dalam bahasa Inggeris) mendapat pendidikan di Pakistan ini turut menjadi ahli Majlis Pengawasan Syariah Amana. Jam’iyat Ulama adalah menjadi “pihak berkuasa” bagi urusan-urusan umat Islam di sana. Kebanyakan rakyat adalah bermazhab Syafie.
7. Sebuah parti umat Islam turut wujud sejak sekian lama di Sri Lanka iaitu Muslim Party of Sri Lanka. Pada Jumaat lalu, saya dijemput untuk makan tengahari di rumah Maulavi Siraj, Internal Shariah Supervisor, Amana Investment Limited. Anak muda 27 tahun ini mendapat pendidikan awal di madrasah di Sri Lanka dan kemudian ke Afrika Selatan selama 4 tahun. Beliau adalah cucu menantu kepada pengasas Muslim Party of Sri Lanka. Datuk beliau pernah menjadi menteri kerajaan Sri Lanka dan telah mati dibunuh dalam “kemalangan” helikopter.
8. Amana Investment dalam proses mendapatkan lesen perbankan komersial daripada bank pusat Sri Lanka. Setelah diperolehi kelak, ia akan dikenali sebagai Amana Bank dan menjadi institusi perbankan Islam pertama di Sri Lanka. Saya berkesempatan untuk mengemukakan pandangan dalam proses tersebut dengan Pengarah Urusan, Ketua Pengurusan Risiko dan Shariah Supervisornya. Dua pembentangan juga sempat saya sampaikan iaitu “Treasury Products and Practices in Malaysia” kepada Corporate Management Team (CMT) dan “Shariah Compliance Framework of an Islamic Bank” kepada CMT dan pengurus-pengurusnya. Banyak kerjasama lain akan diteruskan dengan Bank Islam sebagai lanjutan rapat yang telah sedia wujud sejak tahun 1997 lagi.
Kota Bharu Medical Centre
10/2/2009